|
PENGISYTIHARAN INTEC EDUCATION COLLEGE SEBAGAI IPTS
Salam Hormat Seluruh Warga INTEC,
Bismillahirrohmanirrahim. Assalaumualaikum warahmatullah
Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif UiTM Bil 2/ 2013 bertarikh 4 Feb 2013 telah bersetuju meluluskan permohonan INTEC sebagai IPTS berkuat-kuasa pengoperasian mulai 1 April 2013. Keputusan JKE UiTM ini bermakna salah satu VCSP UiTM iaitu untuk menjadikan INTEC sebagai sebuah IPTS terlaksana. Terima kasih kepada pihak UiTM kerana memberi kepercayaan kepada warga INTEC untuk menggalas tugas yang amat mencabar ini. Kepada semua warga INTEC degup jantung kita menanti tarikh operasi sebagai sebuah IPTS telah terjawab. Marilah kita bersedia dari segi Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial (JERIS) untuk menjadi kakitangan sebuah IPTS.
Sejak 1982 INTEC bernaung di bawah universiti yang kita sayangi, UiTM. Pelbagai liku telah kita tempuh dengan gigih. Pelbagai cabaran kita hadapi dengan tabah. Dalam tempoh usia INTEC kira-kira 30 tahun ini kita berjaya kekal sebagai sebuah pusat persediaan pelajar yang dihormati dan disegani di dalam dan di luar negara. Sebagai Kampus Satelit di bawah naungan UiTM kita sentiasa mendapat bantuan, sokongan, bimbingan, dan pertolongan dari “ibu” kita UiTM. Hari ini kita telah dewasa, “ibu” kita telah menyerahkan suatu tanggungjawab untuk kita pikul bersama. Kita perlu mengorak langkah untuk menambahbaik peranan kita dan program akademik yang sedia ada, serta bersedia pula untuk menawarkan program di peringkat Sijil, Diploma, Ijazah, dan pasca-siswazah.
Kita berhadapan dengan tempoh transisi yang memerlukan pengorbanan semua warga. Tempoh ini cukup mencabar bagi kita. Kita perlu memahami tujuan menjadi sebuah IPTS. Kita perlu berdikari dan berganding bahu; ringan kita sama jinjing, berat kita sama pikul untuk bersaing di dunia perniagaan yang begitu kompetitif. Ke bukit sama kita daki, ke lurah sama kita turuni. Jika sebelum ini kita boleh menumpang teduh dengan selesa di bawah bumbung UiTM. Hari ini kita perlu bina sendiri bumbung baru. Kita perlu lalui apa juga cabaran di awal perjalanan ini. Marilah kita berakit-rakit ke hulu dan berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu dan bersenang-senang kemudian supaya kita semua berjaya mencapai matlamat yang diidamkan. Marilah kita tanamkan cita-cita untuk menjadi sebuah IPTS yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan IPTS yang lain.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengajak semua warga INTEC menjadi pekerja efisien dan efektif supaya kita dapat merealisasikan hasrat untuk menjadi IPTS yang berjaya. Yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipis tidak akan datang melayang. Kita perlu menjadi pekerja yang sentiasa menghormati masa, berintergriti, beretika, dan bersungguh-sungguh jika kita ingin cemerlang.
Coming together is a beginning Keeping together is progress Working together is success
Bersama Menjayakan INTEC IPTS!
Prof. Dr Fauziah Noordin Ketua Eksekutif INTEC 1 April 2013 |